Read Time:2 Minute, 46 Second

Disaat Kelantan FC diserang dengan pelbagai kontroversi viral pada ketika ini, sebagai penyokong tegar Kelantan FC kami merayu pihak TRW Kelantan FC berhenti mengeluarkan maklum balas yang makin memburukkan keadaan sebagai contoh mengaitkan pemecatan staf dengan isu kebocoran rekaan jersi dan sebagainya.

Isu dalaman usah didedahkan kepada umum, jawablah secara profesional dan tidak rugi sekiranya memohon maaf diatas kelewatan dan kelemahan kualiti jersi yang diviralkan. Semakin dilayan semakin banyak masalah akan terdedah akibat rasa tidak puas hati cara layanan atau maklum balas yang diberikan.

Berkaitan isu gaji dan KWSP pula, pihak Kelantan FC disaran menyelesaikannya secara berhemah tanpa perlu menambah perit pemain dan staf yang terlibat dengan kenyataan yang menyakitkan hati mereka.

Pemilik Kelantan FC juga dinasihatkan tidak menampakkan Kelantan FC diuruskan secara perseorangan (One man show) dan semua isu tidak perlu dilayan demi menjaga tahap profesionalnya, cukuplah kenyataan rasmi dari Media pasukan menjelaskannya. Pemilik Kedah FC adalah contoh individu yang menguruskan pasukan secara profesional dan tidak mencampuri urusan pasukan dengan kerja hakiki dan kehidupan harian.  Tiada cerita bola melalui “feed” dan “story” media sosialnya. Begitulah juga status semasa pemilik kelab-kelab bola sepak antarabangsa, tiada seorang pun menampakkan status mereka sebagai pemilik utama kelab.

Seluruh penyokong Kelantan FC pula jangan berlebihan dalam mengkritik pasukan sehingga melibatkan membuka keaiban diri pemilik, menyebarkan isu tanpa mengusul periksa kesahihannya. Kelantan FC diera swasta “FC @ football Club” ini, semuanya ditanggung sendiri oleh pemilik kelab tanpa melibatkan individu lain. Oleh itu, segala hutang piutang perlu diselesaikan oleh pemilik kelab ini, berbeza di zaman bersama KAFA dahulu, ramai ahli jawatankuasa terpaksa menanggung segala kos hutang KWSP dan ada yang akaun bank mereka di senarai hitam disebabkan hutang yang ditinggalkan.

Alhamdullilah, selepas pengambilalihan oleh Boszam, ahli-ahli jawatankuasa dulu telah boleh menarik nafas lega, tiada masalah orang lain terkait kepada mereka. Hanya Boszam perlu mendepani masalah ini bersama pengurusan kelab.

Selepas tempoh gelap pandemik , tahun 2023 dilihat tahun untuk Kelantan FC mampu bangkit, mungkin isu-isu semasa ini akan membuatkan Kelantan FC lebih bersedia dan kental bersama penyokong. Berilah masa kepada Boszam untuk meredakan isu-isu ini. Hanya dengan doa dan sokongan sahaja mampu mengembalikan keceriaan kepada pasukan ini. Kelantan FC tidak harus semakin diktator dengan  penyokong setia mereka seperti mengeluarkan semakin banyak larangan yang tidak masuk akal untuk penyokong Kelantan.

Kelantan FC perlu mesra penyokong dengan mengadakan lebih banyak kerjasama dan aktiviti diantara kelab-kelab penyokong. Pengurusan kelab harus membahagikan tugas untuk mengwujudkan ada pasukan untuk menguruskan aktiviti semasa untuk penyokong selain memberi faedah yang menarik penyokong kepada pasukan, jangan hanya terlalu fokus kepada pengurusan dan produk pasukan sehingga mengabaikan hubungan diantara kelab dan penyokong.

Jika dilihat pada masalah jersi dan pengurusan pembelian jersi penyokong, sudah tiba masanya kelab tidak terlalu fokus kepada pengeluaran produk jersi secara sendirian sebaliknya berkerjasamalah dengan jenama atau syarikat sukan yang berpengalaman dalam menguruskan pengeluaran dan pembelian jersi ini dan kelab hanya perlu fokus kepada pembangunan pasukan dan penyokong. Bukan semua boleh dilakukan oleh sebuah pasukan bola sepak, pengalaman dan sejarah kelab-kelab antarabangsa harus dijadikan model meskipun Boszam pakar dalam bisnes perniagaan.

Kesimpulannya sebagai penyokong setia Kelantan FC, kami berharap masih ada sinar  dan makin bersinar Kelantan FC bersama Boszam. Teguran ikhlas ini adalah melalui pengalaman lebih sedekad memerhati dan berkerjasama dengan presiden dahulu pasukan Kelantan FA. Biarlah yang dikejar sedikit lebih berkualiti daripada yang dikejar banyak akhirnya terlepas tanpa kualiti.