PERTEMBUNGAN SENGIT SEAWAL PUSINGAN PERTAMA PIALA FA

Read Time:2 Minute, 14 Second

Undian Piala FA 2023 yang berlangsung pada Jumaat, 10 Februari menyaksikan sebanyak 20 pasukan akan bersaing untuk edisi ke-32.

Selain penyertaan 14 pasukan Liga Super, sebanyak 6 pasukan dari Liga M3 iaitu Imigresen FC,Kuala Kangsar BRM FC, Manjung City FC, Melaka FC, PIB Shah Alam FC dan Sains FC akan turut bersaing di kejohanan Piala FA, kali ini.

Undian melibatkan kedudukan pasukan untuk pusingan pertama sahaja melibatkan 3 pasukan terbawah Liga Super musim 2022 (Sri Pahang FC, Kedah Darul Aman FC dan Penang FC) selain 3 pasukan terbawah Liga Premier 2022 (Kelantan United FC, PDRM FC dan Perak FC) 6 pasukan Liga M3 bagi mencari empat slot ke pusingan 16.

Manakala 6 kelab teratas dari Liga Super musim 2022 (Johor Darul Ta’zim, Terengganu FC, Sabah FC, Negeri Sembilan FC, Selangor FC dan Kuala Lumpur City FC) bersama 2 kelab teratas Liga Premier 2022 (Kelantan FC dan Kuching City FC), layak secara automatik ke pusingan 16.

Tiada undian bagi perlawanan pusingan 16 bagi 6 kelab teratas Liga Super 2022 dan 2 kelab teratas Liga Premier yang layak secara automatik dengan laluan ke pusingan seterusnya berdasarkan kedudukan β€˜seeding’ iaitu mengikut posisi liga musim 2022.

Pada majlis undian hari ini yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL), Stuart Ramalingam dan pemain legenda tanah air, Azman Adnan, memperlihatkan beberapa pertembungan menarik dan sukar dijangka bakal berlaku.

Antaranya yang mencuri tumpuan adalah pertembungan antara juara lima kali Piala FA, Kedah Darul Aman FC yang akan melakukan perhitungan lebih awal dengan melayan kunjungan Penang FC di Stadium Darul Aman pada pusingan pertama.

Sudah tentu ia akan menjadi perlawanan yang dinantikan apabila Kedah yang kini dibimbing Nafuzi Zain bakal menerima tentangan sengit daripada anak buah Manzoor Azwira yang dilihat begitu bersedia membentuk pemain terbaik musim ini.

Juga undian menyaksikan skuad Perak FC dan Sri Pahang FC yang turut perlu mengharungi pusingan pertama musim ini.

Perak yang merupakan juara sulung Piala FA yang mula dipertandingkan pada musim 1990 pastinya ada misi tersendiri untuk cuba memberi kejutan kepada Sri Pahang yang kali terakhir menjuarai kejohanan pada tahun 2018.

Perlawanan pusingan pertama Piala FA bakal berlangsung 8 Mac dengan aksi final dijangka berlangsung pada 22 Julai 2023 di venue yang akan diputuskan MFL.

Setelah 31 edisi Piala FA dijalankan, Selangor FC dan Kedah Darul Aman FC muncul juara paling banyak iaitu sebanyak lima kali diikuti Sri Pahang serta Kuala Lumpur City iaitu 3 kali.

Manakala pasukan lain yang tidak ketinggalan menggapai kejuaraan ialah JDT, Perak FC, Kelantan FC, Terengganu FC dan Negeri Sembilan FC yang telah memenanginya dua kali.

Sementara Sabah FC, Sarawak FC, Penang FC, Johor dan LionsXII, masing-masing pernah muncul juara sebanyak satu kali.

Sumber: #MFL