Read Time:1 Minute, 8 Second

oleh MUHAMMAD ZAKWAN NAZARALY 09 Julai 2023 . SINAR HARIAN

ERFAN Gym & Fitness menafikan pihak mereka menawarkan RM10 juta untuk membeli Kelantan FC daripada pemilik kelab tersebut, Norizam Tukiman.

Pusat kecergasan itu dalam satu kenyataan berkata, mereka masih melakukan perbincangan dengan Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham untuk urusan pembelian The Red Warriors (TRW) itu

“Yang mengatakan Erfan Gym ingin membeli kelantan FC dengan nilai 10 juta? Dari mana dapat nilai RM10 juta?

“Sedangkan kami Erfan Gym masih lagi dalam perbincangan dengan pemilik TRWFC En Norizam Tukiman tentang hal ini. Apa-apa keputusan nanti, boleh rujuk di laman rasmi TRW Kelantan FC.

“Jika ada apa-apa kenyataan dari kami, kami akan update di sini dan hanya tepat di page kami Erfan Gym,” kata kenyataan itu di laman Facebook Erfan Gym & Fitness.

Isu penjualan Kelantan FC hangat diperkatakan selepas pemilik Erfan Gym & Fitness, Erfan Akif Ruslan dan usahawan kosmetik, Datuk Seri Hasmiza Othman atau Datuk Seri Vida menyatakan minat secara rasmi untuk membeli pasukan tersebut.

Malah, Erfan Akif juga dilaporkan sanggup membayar RM10 juta untuk mengambil alih pasukan tersebut daripada Zamsaham yang merupakan nilai cukup tinggi untuk kelab seperti Kelantan FC.

Ia sekali gus menarik perhatian Zamsaham yang bersedia menjual kelab itu kepada Erfan Akif dan meminta usahawan berusia 30 tahun itu menunjukkan bukti dana dan pemilikan wang tersebut terlebih dahulu.

Sumber: SINAR HARIAN