KRW FC dibenarkan beraksi dalam saingan Liga A1?

FB_IMG_1752489770599
Read Time:1 Minute, 27 Second

Kuala Lumpur: Kurang 24 jam selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memohon penjelasan terperinci mengenai status Kelantan Red Warriors (KRW) daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), akhirnya KRW menerima berita gembira.

Ini kerana FIFA mengesahkan kelab baharu dari Pantai Timur itu dibenarkan beraksi dalam saingan Liga A1 Semi Pro musim 2025/2026 tanpa sebarang masalah, termasuk tidak dikenakan sekatan pendaftaran atau perpindahan pemain.

Perkara ini disahkan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman, kepada Arena Metro hari ini, sekaligus membolehkan KRW kembali beraksi bermula minggu ini.

“Hasil maklum balas diterima daripada FIFA memaklumkan tiada sekatan perpindahan pemain dikenakan pada masa ini.

“Ini sekaligus membolehkan KRW untuk mendaftarkan mana-mana pemain, sama ada tempatan atau antarabangsa, bagi menyertai mana-mana liga bola sepak di Malaysia,” kata Noor Azman.

Semalam, Arena Metro melaporkan bahawa nasib KRW untuk beraksi di Liga A1 masih belum diketahui dan kelab itu perlu menunggu keputusan lanjut.

Ini susulan surat FAM bertarikh 5 Ogos 2025 yang memberikan kebenaran kepada KRW untuk menjalankan semula aktiviti bola sepak, namun tidak menyatakan secara jelas sama ada pasukan itu bebas daripada sekatan pendaftaran pemain.

Oleh itu, FAM menghantar surat susulan kepada FIFA pada 6 Ogos 2025 bagi mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan status sekatan perpindahan pemain terhadap KRW.

Dalam perkembangan berkaitan, Noor Azman menegaskan FAM akan terus memantau situasi membabitkan KRW dan sedia memberi bantuan bagi melancarkan proses sebagaimana ditetapkan.

“FAM akan terus memantau perkembangan ini dan memberikan kerjasama penuh bagi memastikan segala proses berjalan mengikut peraturan dan garis panduan ditetapkan FIFA,” katanya.

Untuk rekod, isu KRW tercetus apabila kelab itu didakwa tidak mematuhi prosedur penubuhan kelab baharu dan mempunyai hubungan dengan Kelantan FC sebelum ini.

Disebabkan masalah tersebut, KRW terpaksa melepaskan aksi pembukaan Liga A1 Semi Pro yang telah pun bermula minggu lalu. -Metro